Monday 22 August 2011

Peluang menjadi penyelidik di QUWIC


QUWIC ialah singkatan bagi “Qatar University Wireless Innovations Centre”. Melalui tulisan ini saya ingin memaparkan suatu peluang yang sungguh berpotensi bagi penyelidik Malaysia yang berminat dalam bidang Tanpa Wayar. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui http://www.quwic.com/.

Beberapa kali saya berbalas email dengan Dr Hamid Menouar, email: hamidm@quwic.com, yang mengurus bahagian penyelidikan tanpa wayar untuk menyatakan sokongan kumpulan kami di USIM terhadap usaha beliau. Juga, saya menanyakan peluang pelajar saya untuk meneruskan penyelidikan di QUWIC, namun beliau menyatakan bahwa QUWIC ialah hanya pusat penyelidikan dan urusan akademik terpaksa melalui university dan kami diminta untuk terus berhubungan dengan pihak Universiti Qatar.

Setelah menerangkan penyelidikan yang sedang kami buat mengenai “Sistem Keselamatan Manusia” menggunakan Model Markov Tersembunyi (MMT) Dr Hamid Menouar menyatakan, “Kita boleh bekerjasama”. Namun, saya akan mengambil sikap “tunggu dan lihat” sambil menunggu penyelidikan yang kami lakukan kini benar-benar mantap dan standing dengan mana-mana universiti di dunia.

Melalui ruang terbatas ini, apa yang dapat saya nyatakan bahwa bidang “wireless (tanpa wayar)”, ditambah dengan bidang sokongan seperti “embedded computing (pengkomputeran terbenam)” akan menjadi bidang penyelidikan utama masa depan.

Kekuatan dalam bidang ini akan menentukan hala tuju keselamatan Negara kita. Melalui bidang ini keselamatan Negara boleh dijaga tanpa diketahui oleh orang lain kerana pengumpulan data dilakukan secara senyap dan pemprosesan masa nyata (realtime) dapat dilakukan dengan cepat dan system penggera (alert systems) dapat diaktifkan bagi menyedarkan manusia di sekeliling apabila sesuatu itu terjadi.

Jika anda sedang berfikir-fikir tentang bidang apa yang anda ingin ceburi, cuba masukkan bidang ini “Wireless” dan “Embedded Computing” dalam agenda pemikiran anda supaya negera kita nanti akan mempunyai pakar yang cukup dan berkalibar bagi menentang kekuasaan yahudi dalam bidang ini yang jauh lebih maju daripada ummat Islam.

Sudah cukup Negara Afghanistan dan Pakistan dihancurkan oleh kapal terbang tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle (UAV)) oleh Amerika, kita tidak mahu lagi Negara Islam lain menjadi sasaran penyelidikan Amerika selanjutnya.

Jika anda mempunyai minat dan kepakaran lihatlah QUWIC sebagai suatu alternative penyelidikan dan masa depan anda. Mereka mempunyai dana, tapi kurang kepakaran. Mungkin kita mempunyai kepakaran tetapi kurang dana.

Ismail Abdullah, 24 Ogos 2011.

Wednesday 28 April 2010

Dua Senario Penyelidikan

Perlu dibezakan dua senario dalam penyelidikan. Pertama ialah proses penyelidikan dan kedua dokumentasi penyelidikan. Proses penyelidikan sebenarnya bermula dalam fikiran yang biasanya kita sebut pembentukan konsep terhadap sesuatu tajuk yang kita ingin dalami. Setelah proses penyelidikan bermula dan hampir fokus, kita akan mula membuat dokumentasi penyelidikan sedikit demi sedikit.

Proses penyelidikan
Proses ini dimulai dengan suatu masalah yang timbul akibat dari suatu pengamatan (observation) atau suatu pembacaan dalam tajuk tertentu. Bila timbul suatu masalah kita telah mencipta suatu benih atau peluang untuk membuat penyelidikan (a fetus for a research), biasanya masalah ini akan bermain lama dalam fikiran kita sehinggalah timbul beberapa hipotesa untuk menduga beberapa penyelesaian yang mungkin bagi sesuatu masalah. Apabila kita sudah pasti beberapa hipotesa yang sah (valid), maka kita mula pula memikirkan tentang metodologi untuk menjawab hipotesa-hipotesa tersebut. Kalau perlu kita mengumpulkan data, maka kita perlu lakukan. Jika perlu melakukan lebih banyak pembacaan juga kita perlu lakukan. Ini semua dilakukan untuk memenuhi rasa ingin tahu yang mendalam yang mula bersarang dalam diri kita. Proses penyelidikan inilah yang ingin kita tanam kepada semua peminat penyelidikan. Ini sesuai dengan ayat pertama Al-Qur’aan iaitu IQRA’ (baca), bacalah dengan nama TuhanMu (Allah). Kita perlu membaca fenomena yang berlakuk dalam masyarakat. Apa saja gejala yang berlaku dalam masyarakat ada sebab dan akibatnya. Kita akan terus membaca dan bertanya sehingga jawapannya tuntas.

Dalam proses penyelidikan ini tumpuan kita ialah untuk menjawab masalah yang kita hadapi. Fikiran kita akan ditumpukan kepada mencari penyelesaian terhadap masalah yang sedang dihadapi. Ada ketika kita akan menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaiannya.

Biasanya kita akan mencari bahan-bahan bantuan mengenai tajuk tersebut melalui jurnal, buku, makalah dan sebagainya. Kini ramai yang akan mencari bahan segera melalui internet. Namun kita mesti ingat jangan terlalu bergantung kepada internet kerana kesahihan bahannya adalah sangat rendah kecuali jika bahan tersebut diterbitkan oleh sebuah organisasi yang boleh dipercaya (reliable) misalnya sebuah kerajaan tertentu atau sebuah organisasi penyelidikan yang diiktiraf dalam bidang akademik.

Bahan yang paling boleh dipercaya ialah dari jurnal dan buku kerana terdapat proses pengadilan (referee) yang ketat. Bahan dalam jurnal terlebih dahulu akan dibaca dan diadili oleh seorang pakar dalam bidang tertentu. Setelah diperakui oleh pakar barulah bahan tersebut diterbitkan oleh jurnal tertentu. Proses yang sama juga dilakukan terhadap penerbitan buku. Jadi kedua-dua sumber tersebut dipakai secara meluas dalam bidang akademik. Rujukan kepada jurnal biasanya diambil daripada keluaran 5 tahun terakhir, begitu juga buku.

Kajian literatur ini sangat penting dalam penyelidikan kerana kita tidak mahu mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh orang lain dalam tajuk yang sama, paling parah kalau kita mengulangi kesalahan pengkaji terdahulu. Kita akan gunakan kajian literatur sebagai landasan untuk memperbaiki ilmu yang ada atau menambah ilmu yang ada agar menjadi lebih mendalam.

Selepas selesai proses kajian literatur maka kita bergerak kepada metodologi atau cara kita menjalankan kajian bagi menjawab persoalan yang kita timbulkan pada peringkat awal. Dalam Sains Tulin biasanya para pengkaji akan menggunakan kaedah ujikaji (experimental) dan dalam bidang Sains Sosial pula kaedah separa ujikaji (quasi experimental) akan digunakan yang telah dipelopori oleh T. Cambell. Dalam kedua-dua bidang Sains Tulin dan Sains Sosial kaedah kajian perpustakaan (library research) juga digunakan pada peringkat takrifan, namun khususnya dalam Sains Sosial, kaedah lapangan (field research) adalah sangat popular.
Dalam tulisan pendek ini apa yang saya maksudkan dengan dua senario penyelidikan ialah senario konsep dan senario dokumentasi.

Senario konsep bermula dengan cetusan idea dalam fikiran, ianya akan bermain dalam fikiran dan setiap masa kita memikirkannya. Ianya bermula daripada masalah yang dihadapi oleh penyelidik sendiri atau persekitarannya. Melalui pengamatan dan pembacaan seorang penyelidik akan dapat mengenalpasti masalah penyelidikannya. Beliau juga akan memikirkan tentang hipotesis terhadap masalah tersebut, hipotesis ialah dugaan atau cadangan penyelesaian yang memerlukan pembuktian melalui ujikaji. Proses pemikiran ini tidak bersifat “linear” ianya berpindah dari fasa awal ke fasa akhir dan berulangalik ke fasa-fasa lain dalam arah yang tidak menentu. Namun proses pemikiran ini sangat penting agar penyelidikan kita menjadi matang pada peringkat konsep ini.

Senario dokumentasi akan bermula apabila kita ingin membuat cadangan penyelidikan (research proposal) dan seterusnya menyiapkan laporan akhir penyelidikan. Senario ini yang dianggap sebagai fasa formal akan mengikuti kaedah penulisan yang dimulai dengan pengenalan, pernyataan masalah, hipotesis (jika ada), kajian literatur, metodologi kajian, pelaksanaan kajian, hasil kajian dan cadangan dan diakhiri dengan rujukan.

Semoga kita dapat membudayakan penyelidikan dalam kehidupan kita.

Wednesday 28 October 2009

Cadangan Penyelidikan (Research Proposal)

Cadangan penyelidikan (research proposal) memainkan peranan yang sangat penting dalam penyelidikan. Selain sebagai "blueprint" kepada keseluruhan penyelidikan, ianya juga berperanan sebagai alat untuk mendapatkan pembiayaan (geran) penyelidikan daripada pemberian geran. Cadangan penyelidikan yang jelas akan memudahkan pemberi geran untuk menilai keberhasilan penyelidikan yang akan dilakukan. Dalam cadangan penyelidikan akan memuat bahagian pendahuluan, kajian literatur, metodologi, jangkaan hasil dan rujukan. Dalam bahagian pendahuluan dinyatakan dengan jelas objektif dan skop penyelidikan. Kajian literatur akan menghuraikan kaitan penyelidikan terkini dengan pengkaji-pengkaji terdahulu agar kita tidak mengulangi kesilapan lama jika ada dan memperlihatkan relevansi kajian sekarang dengan kajian lalu.

Tuesday 14 April 2009

Peranan “Literature Review” dalam penyelidikan

Kata-kata “Do not reinvent the wheel” sungguh tepat dengan tajuk yang ingin saya bicarakan.

Perhatikan bahwa semua roda berbentuk bulat. Bentuk yang sempurna ini memberikan keselesaan kepada pemandu dan juga penumpang kenderaan. Cuba bayangkan jika roda berbentuk empat segi, lima segi dan sebagainya bukan bulat, pemandu dan juga penumpang akan pening kepala kerana sebentar naik sebentar turun dan tidak stabil. Boleh juga kita membuat roda berbentuk sfera tetapi kos membuat sfera lebih mahal daripada roda berbentuk bulat.

Maksud daripada dua perenggan di atas ialah agar kita tidak perlu lagi mencipta roda yang baru kerana roda sudah sempurna bentuknya. Begitulah juga dengan kajian literatur dalam penyelidikan. Kita perlu melihat atau mengkaji terlebih dahulu apa yang pernah dibuat atau dikaji oleh penyelidik terdahulu berkaitan dengan tajuk yang ingin kita lakukan.

Jika sesuatu tajuk itu pernah dibuat oleh sesiapa pun maka kita tidak perlu lagi melakukannya, kecuali jika kita ingin membuat replikasi penyelidikan tersebut dengan syarat-syarat baru. Kita boleh menyambung apa yang pernah dibuat oleh penyelidik terdahulu atau mengemukakan kaedah penyelidikan yang baru terhadap tajuk atau bidang yang sama.

Peranan “Literature Review” atau Kajian Literatur ialah untuk mengetahui dari titik mana penyelidikan kita mesti dimulai dan apa yang ingin kita capai melalui pernyataan objektif penyelidikan kita. Kajian literatur juga akan dapat menentukan skop kajian kita, iaitu menyatakan batasan (boundary) kajian yang ingin kita lakukan.
Setiap penyelidik yang baru perlu menentukan bidang kajian yang ingin dilakukan dan membaca sebanyak mungkin buku, jurnal, makalah dan kertas kerja yang berkaitan dengan tajuk yang ingin diselidiki.

Selepas membaca literatur yang berkaitan barulah kita boleh menentukan tajuk yang tepat mengenai penyelidikan kita. Biasanya kita membaca literatur yang dicetak lima (5) tahun kebelakangan (the last five years). Ini pun bergantung kepada tajuk atau bidang yang kita kaji.

Jadi, mulailah dengan membuat kajian literatur dalam bidang yang kita minat untuk mengkaji. Melalui kajian literatur kita akan bersama-sama dengan penyelidik-penyelidik lain dalam bidang yang sama. Jika keadaan memungkinkan, kita boleh membuat hubungan terus dengan penyelidik lain yang berpengalaman dalam bidang yang kita minati dan berbincang dengan mereka dan meminta cadangan mereka untuk menambaik atau meneruskan kajian. Melalui “networking” begini kita dapat menyuburkan budaya penyelidikan di negara kita.