Wednesday 28 April 2010

Dua Senario Penyelidikan

Perlu dibezakan dua senario dalam penyelidikan. Pertama ialah proses penyelidikan dan kedua dokumentasi penyelidikan. Proses penyelidikan sebenarnya bermula dalam fikiran yang biasanya kita sebut pembentukan konsep terhadap sesuatu tajuk yang kita ingin dalami. Setelah proses penyelidikan bermula dan hampir fokus, kita akan mula membuat dokumentasi penyelidikan sedikit demi sedikit.

Proses penyelidikan
Proses ini dimulai dengan suatu masalah yang timbul akibat dari suatu pengamatan (observation) atau suatu pembacaan dalam tajuk tertentu. Bila timbul suatu masalah kita telah mencipta suatu benih atau peluang untuk membuat penyelidikan (a fetus for a research), biasanya masalah ini akan bermain lama dalam fikiran kita sehinggalah timbul beberapa hipotesa untuk menduga beberapa penyelesaian yang mungkin bagi sesuatu masalah. Apabila kita sudah pasti beberapa hipotesa yang sah (valid), maka kita mula pula memikirkan tentang metodologi untuk menjawab hipotesa-hipotesa tersebut. Kalau perlu kita mengumpulkan data, maka kita perlu lakukan. Jika perlu melakukan lebih banyak pembacaan juga kita perlu lakukan. Ini semua dilakukan untuk memenuhi rasa ingin tahu yang mendalam yang mula bersarang dalam diri kita. Proses penyelidikan inilah yang ingin kita tanam kepada semua peminat penyelidikan. Ini sesuai dengan ayat pertama Al-Qur’aan iaitu IQRA’ (baca), bacalah dengan nama TuhanMu (Allah). Kita perlu membaca fenomena yang berlakuk dalam masyarakat. Apa saja gejala yang berlaku dalam masyarakat ada sebab dan akibatnya. Kita akan terus membaca dan bertanya sehingga jawapannya tuntas.

Dalam proses penyelidikan ini tumpuan kita ialah untuk menjawab masalah yang kita hadapi. Fikiran kita akan ditumpukan kepada mencari penyelesaian terhadap masalah yang sedang dihadapi. Ada ketika kita akan menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaiannya.

Biasanya kita akan mencari bahan-bahan bantuan mengenai tajuk tersebut melalui jurnal, buku, makalah dan sebagainya. Kini ramai yang akan mencari bahan segera melalui internet. Namun kita mesti ingat jangan terlalu bergantung kepada internet kerana kesahihan bahannya adalah sangat rendah kecuali jika bahan tersebut diterbitkan oleh sebuah organisasi yang boleh dipercaya (reliable) misalnya sebuah kerajaan tertentu atau sebuah organisasi penyelidikan yang diiktiraf dalam bidang akademik.

Bahan yang paling boleh dipercaya ialah dari jurnal dan buku kerana terdapat proses pengadilan (referee) yang ketat. Bahan dalam jurnal terlebih dahulu akan dibaca dan diadili oleh seorang pakar dalam bidang tertentu. Setelah diperakui oleh pakar barulah bahan tersebut diterbitkan oleh jurnal tertentu. Proses yang sama juga dilakukan terhadap penerbitan buku. Jadi kedua-dua sumber tersebut dipakai secara meluas dalam bidang akademik. Rujukan kepada jurnal biasanya diambil daripada keluaran 5 tahun terakhir, begitu juga buku.

Kajian literatur ini sangat penting dalam penyelidikan kerana kita tidak mahu mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh orang lain dalam tajuk yang sama, paling parah kalau kita mengulangi kesalahan pengkaji terdahulu. Kita akan gunakan kajian literatur sebagai landasan untuk memperbaiki ilmu yang ada atau menambah ilmu yang ada agar menjadi lebih mendalam.

Selepas selesai proses kajian literatur maka kita bergerak kepada metodologi atau cara kita menjalankan kajian bagi menjawab persoalan yang kita timbulkan pada peringkat awal. Dalam Sains Tulin biasanya para pengkaji akan menggunakan kaedah ujikaji (experimental) dan dalam bidang Sains Sosial pula kaedah separa ujikaji (quasi experimental) akan digunakan yang telah dipelopori oleh T. Cambell. Dalam kedua-dua bidang Sains Tulin dan Sains Sosial kaedah kajian perpustakaan (library research) juga digunakan pada peringkat takrifan, namun khususnya dalam Sains Sosial, kaedah lapangan (field research) adalah sangat popular.
Dalam tulisan pendek ini apa yang saya maksudkan dengan dua senario penyelidikan ialah senario konsep dan senario dokumentasi.

Senario konsep bermula dengan cetusan idea dalam fikiran, ianya akan bermain dalam fikiran dan setiap masa kita memikirkannya. Ianya bermula daripada masalah yang dihadapi oleh penyelidik sendiri atau persekitarannya. Melalui pengamatan dan pembacaan seorang penyelidik akan dapat mengenalpasti masalah penyelidikannya. Beliau juga akan memikirkan tentang hipotesis terhadap masalah tersebut, hipotesis ialah dugaan atau cadangan penyelesaian yang memerlukan pembuktian melalui ujikaji. Proses pemikiran ini tidak bersifat “linear” ianya berpindah dari fasa awal ke fasa akhir dan berulangalik ke fasa-fasa lain dalam arah yang tidak menentu. Namun proses pemikiran ini sangat penting agar penyelidikan kita menjadi matang pada peringkat konsep ini.

Senario dokumentasi akan bermula apabila kita ingin membuat cadangan penyelidikan (research proposal) dan seterusnya menyiapkan laporan akhir penyelidikan. Senario ini yang dianggap sebagai fasa formal akan mengikuti kaedah penulisan yang dimulai dengan pengenalan, pernyataan masalah, hipotesis (jika ada), kajian literatur, metodologi kajian, pelaksanaan kajian, hasil kajian dan cadangan dan diakhiri dengan rujukan.

Semoga kita dapat membudayakan penyelidikan dalam kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment