Tuesday 14 April 2009

Peranan “Literature Review” dalam penyelidikan

Kata-kata “Do not reinvent the wheel” sungguh tepat dengan tajuk yang ingin saya bicarakan.

Perhatikan bahwa semua roda berbentuk bulat. Bentuk yang sempurna ini memberikan keselesaan kepada pemandu dan juga penumpang kenderaan. Cuba bayangkan jika roda berbentuk empat segi, lima segi dan sebagainya bukan bulat, pemandu dan juga penumpang akan pening kepala kerana sebentar naik sebentar turun dan tidak stabil. Boleh juga kita membuat roda berbentuk sfera tetapi kos membuat sfera lebih mahal daripada roda berbentuk bulat.

Maksud daripada dua perenggan di atas ialah agar kita tidak perlu lagi mencipta roda yang baru kerana roda sudah sempurna bentuknya. Begitulah juga dengan kajian literatur dalam penyelidikan. Kita perlu melihat atau mengkaji terlebih dahulu apa yang pernah dibuat atau dikaji oleh penyelidik terdahulu berkaitan dengan tajuk yang ingin kita lakukan.

Jika sesuatu tajuk itu pernah dibuat oleh sesiapa pun maka kita tidak perlu lagi melakukannya, kecuali jika kita ingin membuat replikasi penyelidikan tersebut dengan syarat-syarat baru. Kita boleh menyambung apa yang pernah dibuat oleh penyelidik terdahulu atau mengemukakan kaedah penyelidikan yang baru terhadap tajuk atau bidang yang sama.

Peranan “Literature Review” atau Kajian Literatur ialah untuk mengetahui dari titik mana penyelidikan kita mesti dimulai dan apa yang ingin kita capai melalui pernyataan objektif penyelidikan kita. Kajian literatur juga akan dapat menentukan skop kajian kita, iaitu menyatakan batasan (boundary) kajian yang ingin kita lakukan.
Setiap penyelidik yang baru perlu menentukan bidang kajian yang ingin dilakukan dan membaca sebanyak mungkin buku, jurnal, makalah dan kertas kerja yang berkaitan dengan tajuk yang ingin diselidiki.

Selepas membaca literatur yang berkaitan barulah kita boleh menentukan tajuk yang tepat mengenai penyelidikan kita. Biasanya kita membaca literatur yang dicetak lima (5) tahun kebelakangan (the last five years). Ini pun bergantung kepada tajuk atau bidang yang kita kaji.

Jadi, mulailah dengan membuat kajian literatur dalam bidang yang kita minat untuk mengkaji. Melalui kajian literatur kita akan bersama-sama dengan penyelidik-penyelidik lain dalam bidang yang sama. Jika keadaan memungkinkan, kita boleh membuat hubungan terus dengan penyelidik lain yang berpengalaman dalam bidang yang kita minati dan berbincang dengan mereka dan meminta cadangan mereka untuk menambaik atau meneruskan kajian. Melalui “networking” begini kita dapat menyuburkan budaya penyelidikan di negara kita.

No comments:

Post a Comment